Tuesday, March 29, 2011

~Kisah K~

Sejak dari tarikh keramat itu 02.02.2006, K selalu membentak dalam jiwanya. Menyalahkan kejadian yang berlaku adalah sama sekali tidak adil. Mengapa tidak diambil saja nyawanya. Memang tidak sudah-sudah ujian yang mendatang. Mudahlah kata orang setiap kejadian pasti ada hikmahnya. Selama bebulan, itu sajalah nasihat dari orang sekeliling kepada K. Sampaikan rasanya mahu dirakam petikan itu. Jika ada sesiapa yang mahu memulakan baris ayat yang sama, punat pita rakaman akan dimainkan. Biar mereka fikirkan ayat yang lain pula untuk diri K yang dirundung malang itu.

"Sialan punya kereta " jerit K, sewaktu keretanya dilanggar laju oleh pemuda yang memandu laju membabi buta. Mungkin mahu tunjukkan keegoan dengan kereta buatan Malaysia Gen2 yang terbarunya. Sememangnya kemalangan yang berlaku adalah dari kesilapan K juga. Yakin penuh keretanya sempat untuk keluar dari simpang sebelum kereta Gen2 itu sampai. Malang sekali nasib K, bila pemandu Gen2 terus rakus menekan pedal minyak. Berdentum kuat hasil pertembungan kereta yang pemandunya dua-dua bersikap ego. K memandu Toyota Corolla. Tercampak K dari tempat duduknya ke tempat duduk penumpang. Gara-gara K tidak memakai tali pinggang keledar. 

Kejadian itu membawa K terus terlantar lumpuh dikatil. Berbulan K tidak dapat menguruskan dirinya sendiri. Mujur K punya isteri yang setia dan juga adik lelaki K yang tidak jemu2 menjenguk. Hanya adik K sahaja yang boleh mandikan K. Orang lain tak hinginnya K. Biarpun K mempunyai 4 anak lelaki yang gagah perkasa. Adik lelaki K yang bertubuh rendah itulah yang tetap menjadi pilihannya. Semua menurut kehendak K. K garang, K dihormati, K banyak membantu orang sewaktu sihatnya dia. Kini tiba masa K meminta bantuan. Tetapi K seorang yang ego. Dek kerana rasa ego, dan rasa dirinya selalu menjadi hero, K benci dirinya berkesudahan begini. Dalam usia 60an, tanpa penyakit kronik, K sepatutnya menghabiskan usia tuanya dengan tenang dan berkederat. Tapi malang itu bukan ada bau. K wajib terima hakikat yang dirinya kini tidak sesempurna dulu. 

"Terima hakikat? hangpa mana tau" ...
"Aduh...gampang...sakitnya"...
"Haish...nasib...nasib...cilake betol"...

Setiap hari inilah 'zikir' yang yang keluar dari mulut K. Menyumpah seranah dengan dirinya yang tidak berkederat lagi. Kini K dikategorikan sebagai 'Orang Kurang Upaya'. Anak sulung K yang daftarkan gelaran itu, sebabnya K mahu menuntut keadilan. K didatangi peguam saban minggu untuk mewakili K. Hasilnya K berjaya menuntut sejumlah wang pampasan. Tetapi K masih marah-marah dengan takdir dirinya. Dengan sikap K yang selalu menyumpah seranah dengan keadaan dirinya, K ditegur oleh anak gadisnya. 

"Dari menyumpah begitu setiap hari baiklah sebut Allahuakbar, Subhanallah, dapat juga pahala"...

Anak gadisnya itu sudah muak dengan sikap K. Sudah tua tetapi tidak mahu berfikiran waras. Selama K terlantar, K tidak mahu menunaikan solat. Marah benar K dengan takdir. Bila diminta untuk mengerjakan solat K ingkar. Katanya Tuhan tentu faham dengan keadaan dirinya. 

Sudah 5 tahun peristiwa malang itu berlalu. Kesakitan yang dilalui oleh K sudah sebati dengan jiwanya. Biarpun terpaksa mengalami kecacatan kekal, K perlu akur. Selagi nafas ini masih berbaki pinjaman dari-Nya, selagi itu kehidupan ini perlu diteruskan. K mengharungi hari-harinya tanpa menyumpah dan bersungut lagi. K sudah kembali menunaikan solat seperti biasa. Tanpa meninggalkan walau satu waktu pun, seperti mana waktu sihatnya K dahulu. Cuma kecacatan kekal itu membataskan K untuk mengangkat takbiratul ihram dengan sempurna. Kali ini baru betul Tuhan akan faham. 



*Aku mahu jadi seperti K yang aku karang. Kerana aku ingin hidup dirahmati kembali.




No comments:

Post a Comment