Thursday, May 31, 2012

~ Penutup May ~



Sekurang-kurangnya tiga kali aku berulang naik turun lift. Biar tidak banyak barang yang aku bawa, tapi kudrat cuma aku seorang. Selesai semua barang dimuatkan dalam Caldina, perjalanan diteruskan. Memandu seorang diri , sambil melayan lagu-lagu hit yang diputarkan oleh DJ Fly.fm. Fikiran melayang dengan rancangan sehari dua ini. Pindah dari Taman Paramount ke USJ 8. Aku bertugas di Sunway. Lebih kurang jaraknya. Yang dicari bukan jarak dekat atau jauh, tapi keselesaan dan ketenangan bukan bingar seperti yang sebelumnya.

Jumaat ini aku berangkat untuk menyelam di Pulau. Bus akan bertolak dari Hentian Putra. Caldina akan aku tinggalkan kepada seorang teman. Aku bercadang untuk mengambil kesempatan dengan rumah di Taman Paramount. Kalau bertolak dr USJ ke KL, pastinya lewat sampai. Jalan pun jam. Hari Jumaat memang lazim begitu. Di sinilah kesempatan yang aku ambil. Kunci rumah di Taman Paramount belum aku kembalikan. Aku janji akan kembalikan 1 June, Jumaat. Teman serumah setuju. Padahal aku mau tumpang mandi selesai pulang dari kerja Jumaat nanti. Langsung meneruskan perjalanan ke KL.

Begitu aturcaranya nanti. Dalam masa yang sama aku sudah pun menerima kunci rumah di USJ. Untuk 2 malam ini aku mau terus bermalam di USJ. Aku sudah tidak sabar lagi untuk menikmati keselesaan dirumah itu. Disediakan katil bersaiz queen, kipas siling dan 1 meja computer. Paling aku idamkan kipas siling. Alangkah bahagianya tidur dengan kipas siling berbanding kipas meja. 10-11 tahun aku gunakan kipas meja. Mungkin tak banyak beza tapi pada aku ini adalah satu nikmat. Seperti orang miskin yang selalu menikmati bilis tiba-tiba dapat makan seketul ayam.

Perjalanan ke USJ mengambil masa kurang lebih 30minit. Sampai saja depan pintu sekuriti, lesen aku ditinggalkan kerana aku gunakan pas visitor. Aku meluncur terus ke block rumah yang baru disewa. Perasaan biasa saja, sederhana. Pintu rumah dibuka, suram. Tiada penghuni. Teman serumah bilang melalui phone dia keluar sebentar. Pusingan pertama, beg Vertikal , Deuter dan handbag Gucci tiruan dimasukkan dulu. Aku tutup pintu rumah dan menuju Caldina untuk pusingan seterusnya. Kali ni kotak baju, tombol pintu dipulas. ‘tap…tap’… tak boleh buka.

Kunci? Seluruh poket aku seluk. Kosong.

Mana kunci rumah? Dalam Rumah!!..Fuck!!Macam mana nak masuk ni?

3 jam masa berlalu. Aku terkunci diluar. Paling malang ini malam pertama aku dirumah ini. Menunggu teman serumah pulang, tidak nampak rupa bayang. Handphone, duit, kunci rumah Taman Paramount semua dalam beg Gucci tiruan dalam rumah yang terkunci. Jiran tertangga tiada yang mahu bertanya. Aku juga hanya diam membatu. Apapun yang mereka bisa bantu. Pecah rumah? Mustahil. Sekuriti Nepal yang jelas sukar untuk berkomunikasi sudah 3 kali meronda setiap jam. Boleh tahan tahap keselamatan dikawasan ini.

Buntu setelah 3 jam menanti. Berlalu saja sekuriti ketiga aku berniat untuk panjat bahagian belakang rumah. Ada grill yang boleh aku buka selaknya. Kemudian aku boleh lompat masuk ke ruang yang disediakan untuk mesin basuh dan jemur pakaian. Cermin tingkap bahagian dapur senang untuk diupil. Aku masukkan tangan melalui tingkap untuk buka tombol pintu dari dalam. Begitu strateginya.

Aku kerabat panjat dari koridor depan rumah jiran, kemudian meniti ke bahagian belakang rumah. Selak grill aku raba. BABI!! Rancangan gagal. Selak grill diperketatkan dengan padlock. Damn!! Aku turun kembali melalui jalan yang aku panjat tadi. Kecewa usah dibilang. Aku menuju ke Caldina untuk tahu waktu. Jam sudah 12.44 pagi. Apa lagi harus aku usahakan. Kemana saja teman serumah ini tidak pulang-pulang. Kemana juga aku mau pergi? Bagaimana mahu hubungi? Mana Ringgitnya?

Aku lemparkan pandangan keluar, sebuah kereta peronda polis lalu melepasi luar kawasan rumah. Apa mungkin aku adukan kepada Polis Diraja Malaysia? Polis Diraja Malaysia ada kemahiran buka pintu macam agen CSI? Atau Polis Diraja Malaysia CMI [cannot make it]? Enjin Caldina dihidupkan. Aku keluar melalui sekuriti. Pas visitor bertukar dengan lesen milik aku. Terus menyusuri jalan menuju ke balai polis berdekatan.

Tak sangka untuk berurusan dengan pegawai polis perlu ambil nombor giliran. Jam sudah 1.15 pagi. 30 saat kemudian nombor aku dipanggil suara gadis elektronik. Suara aku lemah keletihan bercerita. Aduan didengar dengan teliti oleh pegawai polis bernama Fahrul. Malang jawapannya.

“Polis tak dak kemahiran tahap tu. Kami boleh ambush rumah dengan pecah pintu rumah ja. Kalau pakar pintu ni, tukang kunci ja la. Awat tak pi cari tukang kunci ja tadi?”…

“Tak de ke polis yang mcm CSI tuh boleh bukak pintu pakai dawai, tanpa merosakkan pintu?”… makin perlahan suara dilontar.

“Sat saya call”…

Panggilan dibuat, kepada siapa aku tidak pasti. Fahrul tanyakan alamat aku, dan sampaikan kepada penerima panggilan tadi.

“Ok, cik balik sekarang ada polis peronda tunggu depan guard house tu. Bagi depa tengok dulu macam mana”…

“Ok”…

Caldina setia membawa aku kemana pun aku kemudi sterengnya. Benar seperti yang diberitahu Pegawai Fahrul. Kereta peronda polis sudah pun menanti depan guard house. Aku masuk, ambil pas visitor dan berurusan dengan pegawai polis yang baik hati menunggu. Kereta peronda membontoti Caldina aku. Setelah diparking baik, polis meninjau sekitar rumah. 10 minit ambil masa untuk putuskan tindakan. Aku mencadangkan padlock belakang dipecahkan. Aku juga tunjukan cara bagaimana untuk panjat menuju ke grill belakang.

“Bahaya ni cik, kita mesti utamakan keselamatan kita. “…

Aku cuma diam. Suara sudah hilang tenaga untuk melawan. Intonasi pertuturan sudah hilang daya lontaran. Polis masih meninjau-ninjau. Aku biarkan saja. Punyalah aku tidak yakin dengan keupayaan mereka. Aku melenggung dikoridor belakang rumah.

Tiba-tiba entah dari mana polis datang dengan giant cutter. Dan suruh aku ketepi. Dia naikkan seluarnya dan mula memanjat koridor. Meniti dari belakang seperti mana aku buat awal tadi. Dia minta aku hulurkan giant cutter yang dibawanya. Aku akur. Kurang lebih 5minit padlock sudah siap dipotong. Selak pada grill dibuka mudah. Dia melompat ke dalam. Rintangan seterusnya upil tingkap, dan buka tombol dari dalam. Batang penyapu digunakan untuk urusan kali ini. Nampak mudah membuka tingkap dapur itu. Aku fikir aku juga bisa buat. Tombol dipulas dari dalam. Dia berjaya masuk. Aku ucap syukur.

Jam sudah 2.30 pagi. Aku masukkan semua barang selepas aku ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pegawai polis yang baik membantu. Rupa-rupanya polis kita TTMI [try to make it]. Oklah not bad.

Pengajaran. Selalulah bersangka baik kepada siapa pun, dengan apa pun, walau dimana pun. Terutama kepada Sang Pencipta. Teman serumah memang tidak pulang sampai sudah.

“Macam-macam aku ni”… aku mengeluh sendiri.




Wednesday, May 30, 2012

May Muncul Kembali



Setahun sudah berlalu tentang aku bepergian membawa diri yang kemalangan. Aku kembali 4 bulan lalu dan meneruskan perjalanan hidup di daerah asli. Tidak merantau lagi. Akur dengan tuntuan dunia realiti. Bukan lagi masa untuk ujikaji. Cuma hadapi apa yang mendatang. Sejauh ini, belum bisa selesa. Tapi tidak terlalu buruk nasibnya. Sedang-sedang. Tidak pula aku menaruh harapan tinggi kali ini. Jauh sekali untuk tidak bersyukur.

Waktu ini aku menjawat jawatan paling ringan di sebuah syarikat multinational. Asing, tapi tidak terlalu canggung. Sebati, tapi tidak pula keterlaluan. Pernah punya pengalaman dalam bidang ini, cukup untuk aku menjinak-jinakkan diri. Lempar saja aku kemanapun, Insyaallah aku bisa subur.

Biarpun aku terpaksa lupakan bilik kecil yg aku huni 10tahun lalu, namun aku masih mengunjunginya saban minggu. Maklumlah semuanya bermula di situ. Buruk baik detik dilalui, ke situ juga aku terperuk. Agak perih mulanya untuk mencari penempatan selepas sudah terbiasa tinggal dikawasan suburban. Kali ini masuk kali kedua aku berpindah rumah. Moga yang ini paling akhir. Amin.

Tentang hubungan perkawanan di sini, bukan tiada tapi masih perlahan. Pemergian aku selama lebih 8 bulan banyak yang sudah berubah. Masing-masing punya tuntutan waktu sendiri. Akur juga aku dengan perubahan ini. Tidak pernah aku menyesal atas apa yg terjadi kerana pastinya punya hikmah. Bagus untuk kamu, bagus juga untuk aku. Buruk rasa kamu, pastinya buruk juga aku merasa. Jadi tak mengapalah pasti akan ada pengganti kerabat dan kawan.

Aku cuba untuk membaiki diri. Mencari makanan rohani yang mula kebuluran. Dekatkan diri dengan Sang Pencipta sejak aku mula lalai sepanjang kehidupan aku dipulau dulu. Dari seorang sahabat yang kenalkan aktiviti masjid, aku mula membabitkan diri. Walau cuma sebulan sekali, rohani kini mula terisi. Tidak banyak, asal tidak putus bekalannya.

Aku kira cukup 5 perenggan ini, sebagai tanda aku masih bernafas lega…