Wednesday, May 30, 2012

May Muncul Kembali



Setahun sudah berlalu tentang aku bepergian membawa diri yang kemalangan. Aku kembali 4 bulan lalu dan meneruskan perjalanan hidup di daerah asli. Tidak merantau lagi. Akur dengan tuntuan dunia realiti. Bukan lagi masa untuk ujikaji. Cuma hadapi apa yang mendatang. Sejauh ini, belum bisa selesa. Tapi tidak terlalu buruk nasibnya. Sedang-sedang. Tidak pula aku menaruh harapan tinggi kali ini. Jauh sekali untuk tidak bersyukur.

Waktu ini aku menjawat jawatan paling ringan di sebuah syarikat multinational. Asing, tapi tidak terlalu canggung. Sebati, tapi tidak pula keterlaluan. Pernah punya pengalaman dalam bidang ini, cukup untuk aku menjinak-jinakkan diri. Lempar saja aku kemanapun, Insyaallah aku bisa subur.

Biarpun aku terpaksa lupakan bilik kecil yg aku huni 10tahun lalu, namun aku masih mengunjunginya saban minggu. Maklumlah semuanya bermula di situ. Buruk baik detik dilalui, ke situ juga aku terperuk. Agak perih mulanya untuk mencari penempatan selepas sudah terbiasa tinggal dikawasan suburban. Kali ini masuk kali kedua aku berpindah rumah. Moga yang ini paling akhir. Amin.

Tentang hubungan perkawanan di sini, bukan tiada tapi masih perlahan. Pemergian aku selama lebih 8 bulan banyak yang sudah berubah. Masing-masing punya tuntutan waktu sendiri. Akur juga aku dengan perubahan ini. Tidak pernah aku menyesal atas apa yg terjadi kerana pastinya punya hikmah. Bagus untuk kamu, bagus juga untuk aku. Buruk rasa kamu, pastinya buruk juga aku merasa. Jadi tak mengapalah pasti akan ada pengganti kerabat dan kawan.

Aku cuba untuk membaiki diri. Mencari makanan rohani yang mula kebuluran. Dekatkan diri dengan Sang Pencipta sejak aku mula lalai sepanjang kehidupan aku dipulau dulu. Dari seorang sahabat yang kenalkan aktiviti masjid, aku mula membabitkan diri. Walau cuma sebulan sekali, rohani kini mula terisi. Tidak banyak, asal tidak putus bekalannya.

Aku kira cukup 5 perenggan ini, sebagai tanda aku masih bernafas lega…

No comments:

Post a Comment